Profil Sekolah

Sejarah



SK Merintaman mendapat nama sempena dengan lokasi sekolah ini yang terletak di Kampung Merintaman. Sekolah ini terletak kira-kira 4 kilometer dari pekan Sipitang. Warga SK Merintaman terdiri dari pelbagai suku kaum iaitu Kedayan, Brunei, Bisaya, Murut, Dusun, Kadazan, Iban, Jawa, Cina Bugis, Filipina, Timor dan Toraja. Sejarah awal pembinaan SK Merintaman, bermula dengan terbinanya bangunan kayu di atas tanah milik Tuan Hj. Salam B. Wahab pada tahun 1970.


 Oleh kerana sekolah ini terletak di kawasan rendah,ia sering kali dilanda banjir yang mengakibatkan persekitaran menjadi becak. Situasi ini mengakibatkan semua aktiviti luar kelas tidak dapat dijalankan. Bagi mengatasi masalah ini, pada tahun 1985 Jabatan Pendidikan Sabah telah melancarkan projek kilat dengan membina 2 blok bangunan yang mempunyai 5 bilik darjah dan sebuah bilik guru.

Pertambahan bilangan murid dan peningkatan dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum menyedarkan banyak pihak betapa perlunya tapak baru yang lebih luas dan sesuai. Akhirnya pada tahun 1996 pihak sekolah telah berjaya mendapatkan sebidang tanah seluas 5 ekar. Atas tapak ini, berdirilah 1 blok bangunan dengan 4 buah bilik darjah yang mula dibina pada awal tahun1997. Dalam kerancakkan membina bangunan baru ini, satu kebakaran telah memusnahkan sama sekali bangunan sekolah lama. Tragedi hitam ini berlaku pada tanggal 17.06.1998 ( Rabu ) kira-kira jam 08.20 malam. Punca sebenar kebakaran tidak dapat dikenal pasti sehingga kini.